Tuesday, June 30, 2009

MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI

Perak menyambut baik keputusan Majlis Raja-Raja meminta pandangan Majlis Agama Islam Negeri dalam membuat keputusan undang-undang keluarga Islam.

Penasihat Agama Islam Bertaraf Exco kepada Menteri Besar Perak Kapten Bersara Dato'Najimuddin Alias Al-Hafis dalam hal tersebut ia memerlukan ketelitian bagi mengelak perpecahan perpaduan rakyat dinegara ini.

Dato'Najimuddin berkata demikian kepada RTM selepas menjadi tetamu program bersama Pak Ngah di Perak FM.

Dalam perkembangan lain Dato'Najimuddin berkata kerajaan negeri akan mewujudkan Tabung Khas bagi menjaga kebajikan guru-guru Kelas Agama Dan Fardhu Ain KAFA dinegeri ini.

Disamping itu juga,elaun guru KAFA akan dikaji semula dalam masa terdekat dan keputusan mengenainya akan di tentukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia JAKIM.

Bagi memastikan aktiviti Bulan Dakwah, kerajaan negeri memperuntukan 150 ribu ringgit bagi mengadakan pelbagai aktiviti disamping mengimarahkan lagi bulan dakwah di negeri itu.

Monday, June 29, 2009

PUSPANITA

kenangan : puspanita bergambar dengan pengarah Perakfm

lawatan Puspanita Kuala Lumpur di Perakfm



Perak FM mengambil beberapa pendekatan bagi menjadikan stesen radio itu pilihan utama pendengar.

Bermula Isnin lalu, ruangan blog berita diperkenalkan untuk menjadikannya sebagai sumber maklumat kepada masyarakat terutama rakyat di Perak. Blog berita tersebut boleh dilayari di laman web http://www.bes-perakfm.blogspot.com

Pengarah Penyiaran Perak, Puan Noriani Mohd Idris berkata selaras dengan hasrat menjadikan Perak FM sebuah stesen radio yang beroperasi 24 jam, stesen itu sering komited menghasilkan berita yang terkini.

Menurut beliau aktiviti seperti itu merupakan pendekatan baru bagi Perak F-M untuk dikenali masyarakat.

Beliau berkata demikian ketika menyambut rombongan Puspanita Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Kuala Lumpur yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Perak F-M di Ipoh.

Lawatan rombongan seramai 31 ahli PUSPANITA itu bertujuan merapatkan hubungan sesama kakitangan Jabatan Penyiaran.


Friday, June 26, 2009

RASUAH

Dua anggota anggota polis hari ini mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak 6 ribu ringgit di Mahkamah Sesyen Ipoh.

Kedua-dua tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak 5 ribu ringgit pada 23 Jun 2008 di sebuah restoran di Slim River dalam daerah Batang Padang Slim dan menerima 1 ribu ringgit lagi dua hari kemudian di tempat yang sama sebagai dorongan menutup kertas siasatan terhadap S.Santana Samy.

Pauzi Jali,49 tahun dan Mohammad Rizal Kamaruddin,27 tahun diwakili peguam, Suijan Singh kemudiannya dikenakan ikat jamin sebanyak 4 ribu ringgit,setiap seorang oleh Hakim,Puan Tan Hooi Leng.

Tan kemudiannya menetapkan tarikah perbicaraan pada 17 Julai 2009.

Pendakwaan dijalankan dibawah Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksen 34 Kanun Kesiksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen Akta yang sama.

MAKAN MALAM - TPM

Gagasan Satu Malaysia tidak harus dipolitikkan oleh parti pembangkang kerana kepentingannya jelas terbukti serta diikhtiraf oleh masyarakat.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan konsep rakyat didahulukan,
pencapaian diutamakan telahpun menjadi asas kepada pergerakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi.

Tambah beliau, konsep ini turut menjadi kayu pengukur kepada penubuhan BN sehingga negara mengecapi kemerdekaan sepanjang 52 tahun.

Justeru kerajaan terus komited membangunkan keperluan rakyat bukan sahaja dari aspek ekonomi malah perpaduan yang menjadi elemen keselesaan masyarakat bagi meneruskan kehidupan sejahtera.

Beliau berucap demikian di majlis makan malam bersama rakyat di Ipoh.

Sebelum itu, beliau bersama Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir
dan rakyat di negeri ini melaksanakan solat berjemaah Mahgrib dan Isyak.

Hadir sama mantan Menteri Besar, Dato' Seri Diraja Tajol Rosli Ghazali, serta para pegawai kanan kerajaan negeri.

Tan Sri Muhyiddin menjelaskan, dalam rancangan Malaysia yang ke-10 kerajaan akan lebih proaktif dalam urusan pentadbiran bagi memastikan rakyat terus memberi kepercayaan kepada tampuk kepimpinan kini.

Masalah birokrasi akan dihapuskan bagi memudahkan urusan rakyat. Kerajaan akan lebih terbuka menerima sebarang kritikan yang dilihat bertujuan memberi manfaat seterusnya memajukan negara.

Thursday, June 25, 2009

TPM - TIBA

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melakukan lawatan sehari ke Perak hari ini tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah LTSAS Ipoh kira-kira pukul 2.15 petang.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Zambry Abd Kadir, Ahli Exco Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin yang buat julung kalinya sejak memegang jawatan sebagai TPM membuat lawatan rasmi ke Perak untuk mengadakan perjumpaan bersama kakitangan awam dan warga pendidik Perak di Dewan Bankuet, Ipoh.

Selepas perjumpaan itu, beliau mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kinta, Ipoh.

Pukul 5 petang Tan Sri Muhyiddin juga akan melawat Little India di Ipoh.

Pada sebelah malam beliau akan menghadiri jamuan rakyat di kediaman Menteri Besar. Sebelum itu Tan Sri Muhyiddin akan menghadiri majlis tahlil dan solat Maghrib dan Isyak di tempat yang sama.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan anggota Badan Perhubungan UMNO negeri sebelum mengakhiri lawatannya dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 10.45 malam.

Wednesday, June 24, 2009

MBI - AMARAN

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengambil tindakan tegas termasuk menyarankan kepada kerajaan negeri menarik balik tanah-tanah lot kurnia yang gagal membersih tanah masing-masing.

Dato' Bandar Ipoh, Dato' Roshidi Hashim berkata ia kerana tanah-tanah lot yang terbiar boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan termasuk sosial.

Dato' Roshidi berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan penduduk Kampung Tersusun Sengat sempena Program Turun Padang MBI di Simpang Pulai Ipoh.

Dalam pertemuan itu, semua masalah frasarana penduduk dapat diatasi dengan kadar segera selai menunggu peruntukan baru.

Dato' Roshidi bagaimanapun berkata, MBI akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa mengenai permasalahan penduduk.

Misi dan visi MBI untuk menjadi sebagai sebuah bandaraya yang Bersih, Hijau, dan Membangun pada 2015 tidak akan tercapai sekiranya masyarakat sekeliling tidak mengamalkan sikap bersama bertanggungjawab menjaga dan memulihara kepentingan awam secara keseluruhannya.

Tuesday, June 23, 2009

KAPAL-PULANG

Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sri Inderapura selamat tiba di tanah air selepas lebih dua bulan melaksanakan tugasannya di luar negara.

KD Sri Inderapura merupakan kapal keenam TLDM yang ditugaskan mengiringi kapal dagang milik negara merentasi Teluk Aden, Somalia.

Tugasnya bermula 10 Mei lalu menggantikan KD Hang Tuah yang selamat tiba di tanah air pada 14 Mei lalu. Ini merupakan kali kedua tugasannya di kawasan tersebut.

Dalam misi kali ini, ia berjaya mengiringi tujuh kapal dagang milik negara dengan selamat.

Sambutan kepulangan diadakan di pangkalan TLDM, Lumut pagi tadi.

ROS

Monday, June 22, 2009

KARNIVAL SUKAN

Sembilan kampus cawangan UniKL akan menyertai Karnival Sukan Mahasiswa UniKL kali ke-5 pada 23 hingga 26 Jun 2009 di Dataran Industri Kejuruteraan Marin, Bandar Teknologi Maritim, Lumut.

Terdapat 13 sukan yang akan dipertandingkan pada karnival tersebut termasuklah tennis, dart, karom, dan catur.

Selain itu, terdapat juga pelbagai aktiviti menarik yang turut disediakan seperti pertandingan “paint ball”, persembahan kebudayaan, dan banyak lagi.

Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Haji Hassan Malek.

SUHAILA

TANAH PERKUBURAN

25 tahun berdepan dengan masalah mendapatkan tapak tanah perkuburan Kristian yang baru di Teluk Intan, kini masyarakat agama berkenaan lega apabila dua hektar tanah dibuka di Batu 5 yang mampu menampung pengebumian untuk 116 tahun akan datang.

Dalam sesi dialog antara exco hal ehwal bukan islam oleh Dato Dr Mah Han Soon dengan persatuan perkuburan orang-orang Kristian, pelbagai isu dan permasalahan yang dibincangkan mengenai projek berkenaan.

Beliau mengumumkan persetujuan kerajaan negeri memberi sebahagian peruntukkan bagi menguruskan projek ini yang keseluruhannya berjumlah 400 ribu ringgit.

turut dijelaskan punca masalah yang mengambil masa lama ekoran sebelum ini didapati tiada kawasan yang sesuai dijadikan tapak perkuburan dan jika ada, ia tidak mendapat persetujuan daripada masyarakat setempat.

Baizura

BOMBA-HILANG

Pihak Bomba Kuala Kangsar terus berusaha mencari seorang lelaki Melayu dipercayai lemas di Sungai Perak berdekatan Jambatan Sultan Abdul Jalil.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Ipoh berkata lelaki berbangsa Melayu yang berusia 35 tahun itu dipercayai tergelincir ke dalam sungai ketika memukat ikan.

Lelaki tersebut bekerja di Jabatan Kerja Raya dan dipercayai hilang pada 21 Jun jam 2.15 minit petang.

Gerakan mencari masih dijalankan dan melibatkan 18 anggota Bomba, Skuba dan Unit Udara Polis DiRaja Malaysia.


HAKIMIE

Wednesday, June 3, 2009

RANGKA SATU DASAR MENGENAI PROGRAM DAKWAH MENGGUNAKAN TEKNOLOGI ICT - RAJA MUDA PERAK

IPOH, 2 Jun (Bernama) -- Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini bertitah pentadbiran Islam wajib bersedia merangka satu dasar secara jelas berhubung program dakwah menggunakan gelombang media baru atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Satu jalinan kerja di antara ulama dan ahli teknologi mestilah dirintis agar kebaikan dari teknologi gelombang dunia ICT dapat memberi manfaat kepada ulama," titah baginda.

Umat Islam mesti mengakui bahawa penguasaan dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan pra syarat penting bagi menyebarkan Islam secara lebih berkesan demi manfaat umat pada hari ini dan akan datang, titah baginda.

Titah baginda perkembangan sistem teknologi maklumat pada hari ini melalui media internet dengan kewujudan laman web, blog dan lain-lain telah digunakan secara meluas untuk memenuhi matlamat dan tujuan pelbagai kumpulan.

Media cetak dan media elektronik konvensional tidak lagi menjadi pilihan utama dalam jaringan komunikasi moden tanpa sempadan, titah baginda sebelum mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIMP) kali ke-166 di Kompleks Islam di sini.

Titah baginda ketidakupayaan mana-mana pihak untuk menggunakan serta memanfaatkan gelombang komunikasi baru ini akan menyebabkan umat Islam sekali lagi dilihat tidak berupaya mengikuti kemajuan dan perkembangan sains dan teknologi.

"Jangan sampai generasi akan datang terpaksa membayar harga, tertinggal di belakang disebabkan kealpaan generasi hari ini, jangan dibenarkan berlaku senario yang membolehkan generasi akan datang menyalahkan generasi hari ini," titah baginda.

Raja Dr Nazrin Shah turut bertitah kepelbagaian etnik, budaya dan bahasa di kalangan umat manusia merupakan satu rahmat ciptaan Allah yang mesti dimanfaatkan untuk membuktikan bahawa Islam adalah bersifat universal.

"Islam tidak hanya indah secara teori bahkan lebih terserlah dalam amalan hidup seharian. Contoh teladan yang murni dan sifat 'mengkota apa yang dikata' merupakan pendekatan dakwah lebih ketara dan lebih bermakna berbanding aktiviti berbentuk kuliah dan ceramah," titah baginda.

Baginda bertitah Islam tidak menolak amalan budaya yang tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas ajarannya dan selagi budaya tersebut tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam, perkembangannya tidak harus disekat atau dihalang.

"Kegagalan mentafsir kepelbagaian budaya dan bahasa sebagai aset merupakan satu kelemahan yang perlu diatasi. Justeru itu, persepsi Islam jangan sama sekali disempitkan.

"Penjelasan antara konsep-konsep dan hubung kait agama dengan budaya dan kumpulan etnik perlu difahami. Agama Islam adalah untuk seluruh umat dunia tanpa ada sempadan kaum atau budaya," titah baginda.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah Islam bukan milik masyarakat Melayu semata-mata kerana kaum-kaum lain yang mempunyai nilai-nilai budaya, mereka mempunyai hak yang sama mengamalkan Islam dan merayakan peristiwa-peristiwa penting Islam berlandaskan nilai budaya masing-masing.

"Dakwah Islam dan penyebaran Islam akan difahami dan lebih dapat diterima melalui perantaraan bahasa dan budaya yang difahami oleh kumpulan etnik masing-masing," titah baginda.

Raja Dr Nazrin turut mengumumkan geran pelancaran sebanyak RM2 juta sumbangan MAIAMP bagi membina sebuah masjid baru di kawasan seluas 3,776 meter persegi di Taman Tasek Jaya di sini dengan reka bentuk ciri-ciri seni bina kebudayaan Cina.

"Masjid ini akan dapat menjadi pusat ibadat, pusat perkembangan ilmu, pusat maklumat, pusat kemasyarakatan untuk manfaat tujuh kawasan perumahan iaitu Taman Seri Tasek, Taman Tasek Baru, Taman Manikavasagam, Taman Tasek Jaya, Taman Musim Bunga, Taman Tasek Mutiara dan Taman Tasek Berlian," titah baginda.

Baginda juga menyarankan supaya komponen pusat niaga dan kafetaria turut dimasukkan supaya masjid berkenaan memiliki kemudahan yang lebih lengkap dan menyeluruh.

-- BERNAMA