Thursday, October 1, 2009

PERJANJIAN RUMAH PANGSA MBI DITAMATKAN

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan menamatkan serta merta perjanjian sewa rumah pangsa miliknya terhadap penyewa yang menyewakan premis tersebut kepada orang lain.

Datuk Bandar Ipoh, Dato' Mohd Roshidi Hashim berkata, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBI telah mengesan wujudnya penyewa-penyewa haram di beberapa rumah pangsa miliknya di Buntong Harmoni, Kinta Heights, Sungai Pari Towers dan Waller Court.

Menurutnya, rumah-rumah itu disediakan untuk golongan kurang berkemampuan untuk menyewa kediaman di bandar ini tetapi disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.

Tambah beliau, bagi mengatasi masalah ini, MBI akan mengambil tindakan pemutihan iaitu menghantar notis kepada penyewa yang melakukan perbuatan menyewakan premis mereka kepada orang lain berkuatkuasa mulai bulan ini.

Dato' Roshidi berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat bulanan majlis di Ipoh.

MBI telah mengesan beberapa penyewa yang menyewakan semula rumah itu kepada penyewa lain dengan kadar 250 ringgit hingga 400 ringgit untuk mengaut keuntungan.

Kadar sewa semasa bagi setiap unit rumah pangsa MBI adalah 124 ringgit sebulan.

End// ainon

No comments:

Post a Comment